18 April, 2012

Memanah MSSM Kuantan


















Cuti pertengahan Mac 2012 lepas habis seminggu berada di lapang sasar memanah di Kuantan Pahang. Banyak pengalaman diraih dan banyak pula air hujan yang ditakung kerana selama 5 hari hujan turun tak henti-henti. Keadaaan padang sekolah yang digunakan jangan ceritalah..... macam sawah padi.
Apa pun suasana kejohanan tetap berjalan lancar walaupun pemanah dan jurulatih terpaksa berhujan. Yang aku kesian satu je... habis MSSM confirm lebih separuh daripada 64 target butt yang ada kena buang saja sebab dah penuh dengan air hujan.
Dan.... Selangor terpaksa melepaskan kedudukan selaku johan keseluruhan pada tahun lepas ke tangan Perak yang mengungguli kejohanan untuk tahun ini. Dengan kiraan sistem mata yang baru, Selangor perlu bekerja lebih bersungguh-sungguh untuk menyaingi negeri-negeri lain terutama Perak, Terengganu, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Sabah yang kelihatan hebat menyediakan program pelapis memanah untuk atlet-atlet mereka.Moga aktiviti memanah akan terus maju dan aktif dengan pelbagai kejohanan di Selangor. Terima kasih kepada seluruh rakan-rakan jurulatih yang telah sama-sama memberikan sumbangan dalam memastikan atlet-atlet MSSM Selangor menyumbangkan pingat untuk pasukan negeri walaupun sekadar menduduki ranking ke-5 pada tahun ini. Terima kasih juga buat semua atlet yang telah berusaha untuk mencapai kegemilangan walaupun ada yang berjaya dan sebahagiannya kecundang. Bagi yang masih bersekolah untuk tahun hadapan, teruskan latihan dan perbaiki kelemahan yang ada. InsyaAllah sekiranya ada kemahuan di situ akan terserlah kejayaan. Selamat Berjaya.

06 Januari, 2012

Selamat Tahun Baru 2012

Dunia memanah mungkin sebahagian dari aktiviti penting aku. Tahun 2011 telah ku tinggalkan namun boleh juga aku berbangga kerana telah berjaya mengendalikan 6 kursus memanah untuk anak-anak didik sekitar daerah Sabak Bernam. Yang paling akhir pada 28-30 Disember yang lalu. Walau pun tidak seramai semasa bulan Oktober lepas yang mencecah 89 orang peserta hadir dari 14 buah sekolah rendah dan menengah, namun kursus keilmuan ini penting memandangkan ianya berjalan sebelum buka sesi persekolahan 2012.

Tumpuan aku sekarang buat masa ini bukanlah Sukan Selangor (SUKSES) yang akan berlangsung bermula 12 - 15 Januari depan tetapi adalah pada 20-24 Febuari iaitu Kejohanan MSS Selangor yang mana Daerah Sabak Bernam terpilih sebagai tuan rumah kejohanan. Kalau ikutkan kemampuan pemanah-pemanah yang sedia ada untuk bersaing dengan pemanah daerah lain memang nampaknya terlalu sukar. Tapi itulah hakikat yang terpaksa aku telan yang mana PPD mengharapkan sekurang-kurangnya sebutir pingat daripada keseluruhan pingat yang ada.

Apa pun persiapan tetap aku perkemaskan. Latihan memanah untuk atlet-atlet yang menyerlah dipertingkatkan dengan harapan ... kalau-kalau ada pemanah yang boleh dijadikan sandaran pingat. Setiap Sabtu dan Ahad terpaksalah aku panggil atlet-atlet ni turun. Dah lah arrow yang ada pun tak mencukupi, peruntukan arrow baru jauh panggang dari api terutama awal-awal tahun ni. Kalau yang lepas habis le juga duit aku untuk beli 2 dz arrow carbon dan aksesori yang mudah sangat rosak. Tapi kali ni rasanya tak termampulah juga untuk aku mendahulukannya. Semoga kejayaan tetap menjadi impian walaupun dalam serba kekurangan. Faham-faham sajalah, atlet Sabak ni kalau tak disediakan alatannya, sah tak terbelilah depa-depa ni.

Tahun 2012 ni juga aku bertukar suasana dengan mengajar di sekolah yang baru. Tujuan aku beralih ke sekolah aliran agama adalah untuk membangunkan sukan memanah di mana setiap tahun akan diadakan Mahrajan Memanah Negeri dan Kebangsaan. Aku dipertanggungjawabkan untuk melatih dan membangunkan sukan tersebut oleh IPA JPNS. Sasaran aku tahun ni dari sekolah aku yang baru ni dapat melahirkan sekurang-kurangnya seorang atlet ke Mahrajan Memanah Kebangsaan.

Semoga tahun ni sukan memanah akan cemerlang untuk diriku, atletku dan daerahku.